Allah istiwa di atas Arasy: Apakah maksudnya?

Ini merupakan satu persoalan yang sudah sekian lama menjadi bahan perdebatan dan perbincangan di kalangan umat Islam, bahkan sehingga ke hari ini pun ia masih sering diperdebatkan di kalangan agamawan pun. Masih tiada persetujuan hingga kini, dan kunci kepada permasalahan ini adalah, kerana perkataan istiwa di atas Arasy ini jika diambil maksudnya yang literal dan paling asas lagi-lagi melihat kepada cara ia digunakan di dalam satu pernyataan, ia membawa maksud bahawa Allah itu duduk di atas takhtanya.

Imej Allah duduk di atas takhtanya, ibarat seorang raja yang duduk di atas takhtanya, pastinya membawa permasalahan kepada umat Islam, yang percaya bahawa tuhan mereka itu tidak seperti makhluk. Maka atas dasar menolak imej tersebut, mereka sama ada akan mentakwilkan (mentafsirkan) perkataan itu kepada maksud yang lain (iaitu berkuasa), atau mereka mengatakan istiwa’ nya Allah itu tidak seperti istiwa’ makhluk, yang mana itu membawa maksud perkataan itu tetap tidak boleh difahami maksudnya, dan cara Allah istiwa’ itu juga tidak diketahui.

Untuk ini, bukankah lebih baik jika Allah mengelak terus dari menggunakan perkataan istiwa’ ini bagi merujuk kepada dirinya? Ia mengelakkan fitnah, dan seringkali disebut oleh umat Islam, bahawa mengelakkan fitnah itu adalah lebih baik. Tetapi seperti biasa, Allah sendiri yang terlibat dalam menimbulkan fitnah.

Frasa istiwa’ di atas Arasy ini muncul beberapa kali di dalam al-Qur’an, dan ia membawa beberapa maksud, dan ada baiknya kita lihat maksud-maksudnya di bawah. Tetapi mari kita lihat perkataan Arasy dahulu.

Maksud Arasy

Maksud arasy di dalam bahasa Arab adalah takhta, atau singgahsana, iaitu tempat duduk seorang raja. Ini digunakan di dalam al-Qur’an untuk merujuk kepada singgahsana atau takhta Ratu Balqis juga, di dalam surah An-Naml misalnya, di dalam ayat di bawah:

قَالَ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَؤُا۟ أَيُّكُمْ يَأْتِينِى بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَن يَأْتُونِى مُسْلِمِينَ ٣٨

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?" (Surah 27: 38)

فَلَمَّا جَآءَتْ قِيلَ أَهَـٰكَذَا عَرْشُكِ ۖ قَالَتْ كَأَنَّهُۥ هُوَ ۚ وَأُوتِينَا ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهَا وَكُنَّا مُسْلِمِينَ ٤٢.

Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)". (Surah 27: 42)

Jadi apabila perkataan Arasy digunakan, ia merujuk kepada singgahsana atau takhta seseorang. Allah pula tanpa berasa kekok, dengan tenang menyebutkan bahawa dia juga mempunyai Arasy, yakni singgahsana, dan dia "istiwa" di atasnya. 



Arasy Allah

Al-Qur'an menyebutkan bahawa Arasy Allah ini boleh diangkat oleh malaikat dan dibawa ke tempat yang diingini, misalnya lihat ayat di bawah:

ٱلَّذِينَ يَحْمِلُونَ ٱلْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُۥ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِۦ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (Surah 40:7)

Bahkan, lapan malaikat sudah cukup untuk memikul dan mengangkat arasy ini:

وَٱلْمَلَكُ عَلَىٰٓ أَرْجَآئِهَا ۚ وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍۢ ثَمَـٰنِيَةٌۭ ١٧

Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu. (Surah 69:17)

Jadi siapakah yang mendatangkan imej singgahsana raja yang diangkat oleh para malaikat itu? Penulis al-Qur'an sendiri! Imej yang diberikan di sini adalah sebuah singgahsana yang diangkat oleh malaikat, sambil Allah duduk di atas singgahsana itu. Jika singgahsana itu kosong, kenapa sibuk perlu diangkat ke sana sini? Kerana sememangnya, raja sejak dari dulu hingga kini, jika ingin bergerak ke tempat lain, akan diangkat oleh para pengawal dan hamba di atas takhta.


Raja Kemboja

Putera United Kingdom dan isterinya

Raja Thailand

Maka penulis al-Qur'an cuma menggunakan bahasa yang sama untuk menggambarkan bahawa takhta Allah juga akan dibawa oleh para malaikat di hari Akhirat untuk diperlihatkan kepada manusia, dan apa gunanya jika takhta itu kosong? Maka kerana itu, disebut bahawa Allah itu istiwa' di atas takhtanya.

Maksud Istiwa’ menurut al-Qur’an.

 Di dalam al-Qur'an, ada empat jenis penggunaan kata istiwa (atau istawa), mari kita lihat.

1) Matang, sempurna

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَٱسْتَوَىٰٓ ءَاتَيْنَـٰهُ حُكْمًۭا وَعِلْمًۭا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ ١٤

Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah 28:14)

2) Sama; Seimbang

وَمَا يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ ١٩

Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat. (Surah 35:19)

وَلَا تَسْتَوِى ٱلْحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ ۚ  ٣٤

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat (Surah 41:34)

3) Menuju

Maksud ini hanya jika perkata istawa itu dipasangkan dengan kata "ila"

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍۢ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ ٢٩

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah 2:29)

ثُمَّ ٱسْتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ وَهِىَ دُخَانٌۭ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ٱئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًۭا قَالَتَآ أَتَيْنَا طَآئِعِينَ ١١

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela" (Surah 41:11)

4) Berada di atas

Maksud ke empat ini yang paling relevan dan menarik, iaitu perkataan istawa ini digandingkan dengan  perkataan Alaa, atau di atas, yang bermaksud bersemayam atau duduk di atas. 

Ini digunakan untuk merujuk kepada perbuatan manusia, dan perbuatan Allah di dalam al-Qur'an. Mari kita lihat bersama.

Contoh pertama adalah berikut:

فَإِذَا ٱسْتَوَيْتَ أَنتَ وَمَن مَّعَكَ عَلَى ٱلْفُلْكِ فَقُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى نَجَّىٰنَا مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٨

"Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: ` Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim '. (Surah 23:28)

Ayat di atas menjelaskan perihal Nuh dan orang-orang yang bersamanya telah disuruh menaiki bahtera, dan ketika mereka berkata di atas, Allah menyebutkan mereka sudah "istawaita" yang merupakan kata yang berakar dari istawa juga, yang bermakna mereka sudah menetap di atas bahtera itu.

Contoh kedua digunakan untuk merujuk kepada manusia duduk di atas haiwan:

لِتَسْتَوُۥا۟ عَلَىٰ ظُهُورِهِۦ ثُمَّ تَذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا ٱسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا۟ سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُۥ مُقْرِنِينَ ١٣

Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:" Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya - (Surah 43:13)

Ayat di atas menyebutkan perkataan istawa itu untuk merujuk kepada duduk di atas sesuatu, dan ini sekali lagi berlaku ketika mana perkataan istiwa itu digabungkan dengan perkataan "alaa". Dan gabungan yang sama ini juga digunakan untuk merujuk kepada Allah dan hubungannya dengan arasynya. 

Allah istiwa di atas arasy

Di dalam al-Qur'an disebut secara spesifik bahawa Allah itu istawa alal arasy, atau bersemayam atau stabil di atas Arasy, selepas dia telah menciptakan alam ini selama enam hari. 

Ini seperti disebut di dalam lima tempat tempat, yakni 7:54, 10:3, 25:59, 32:4 dan 57:4. 

Surah 7:54 misalnya menyebutkan:

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari kemudian dia bersemayam di atas Arasy (Surah 7:54)

Dan berikut juga sepertimana di dalam empat ayat yang lain yang disebut di atas. Siri ayat-ayat ini menyebutkan bahawa Allah selepas selesai menciptakan langit dan bumi selama enam hari, kemudiannya telah bersemayam di atas Arasy, sepertimana disebut di dalam terjemahan di atas. Ini menarik, kerana ia mencerminkan kepercayaan Yahudi dan Kristian seperti yang disebut di dalam al-Kitab (Bible).

Di dalam al-Kitab, disebutkan bahawa setelah tuhan selesai menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, dia telah berhenti untuk berehat. 

Pada hari yang ketujuh Allah telah menyelesaikan pekerjaan-Nya itu, lalu Ia beristirehat. (Kejadian 2:2)

Ini merupakan satu kepercayaan di kalangan penganut Yahudi dan Kristian, iaitu selepas menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dia berehat pada hari ketujuh, dan umat Islam sering menyebutkan bahawa al-Qur'an telah membetulkan kefahaman ini dengan menyebutkan bahawa Allah itu tidak beristirehat, kerana dia tidak merasa penat atau mengantuk, seperti disebut di dalam ayatul Kursi لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌۭ وَلَا نَوْمٌۭ  

Pun begitu, orang-orang Kristian dan Yahudi memahami ayat ini bukanlah dengan erti kata tuhan berehat kerana dia penat, dia bukan penat, tetapi dia berehat dalam erti kata dia berhenti bekerja. Dan disebabkan dia berhenti bekerja pada hari Sabtu, maka manusia juga perlu berhenti bekerja pada hari Sabtu, dan kerana itulah orang-orang Yahudi tidak bekerja pada hari Sabtu, kerana mengikut tuhan mereka, dan di dalam al-Kitab juga disebutkan bahawa tuhan memerintahkan orang-orang Yahudi supaya tidak bekerja pada hari Sabtu atas sebab ini. 

Walaupun penulis al-Qur'an menyebutkan Allah tidak mengantuk atau tidur, tetapi dia mengikut logik kepercayaan orang Yahudi dan Kristian di dalam al-Kitab, dan disebutkan secara spesifik di dalam al-Qur'an bahawa selepas Allah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, Allah terus bersemayam di atas Arasynya. 

Kenapa hendak bersemayam di atas arasynya? Maksudnya dia berhenti bekerja, atau kerjanya telah selesai, dan ini disebut berkali-kali, di dalam lima ayat.

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۖ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam hari kemudian Dia bersemayam di atas Arasy (Surah 10:3)

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۚ

Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam hari, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, (Surah 25:59)

Surah 11:7 adalah satu pengecualian, yang mana ia menyebutkan alam ini telah diciptakan dalam enam hari, tetapi kemudian ia disambung dengan menyebut bahawa takhta itu berada di atas air, tetapi jika dilihat secara keseluruhan, ia membawa maksud yang sama, cuma tidak disebut bahawa Allah duduk di atas takhtanya, hanya disebutkan takhtanya di atas air.

وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ وَكَانَ عَرْشُهُۥ عَلَى ٱلْمَآءِ

Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam hari, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Surah 11:7)

Bagaimanapun, kepercayaan ini juga merupakan cerminan fahaman Yahudi/Kristian yang mana disebutkan di dalam Bible bahawa istana tuhan itu di atas air. Disebut di dalam Bible:

Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Betapa agung Engkau, ya TUHAN Allahku! Engkau berpakaian kemegahan dan kemuliaan, dan berselubung cahaya. Engkau membentangkan langit seperti kemah, dan membangun Rumah-Mu di atas air di langit. Awan-awan Kaujadikan kereta-Mu, Engkau mengendarai sayap angin. (Mazmur, 104: 1-3)

Allah dan Arasynya

Al-Qur'an menekankan berkali-kali tentang perihal Allah dan arasynya, seolah ingin menekankan bahawa raja yang hebat tentunya mempunyai sebuah singgahsana atau takhta yang hebat dan agung, dan digambarkan bahawa Allah itu cukup berbangga dengan singgahsananya.

Surah 9:129 menyebutkan Allah itu Rabbul Arasy, atau tuhan empunya Arasy, begitu juga surah 21:22.

Di dalam 17:42 disebutkan dia empunya Arasy, "dzil Arasy". 

(Ayat-ayat lain yang menyebutkan perkara serupa adalah 23:86, 116. 27:26, 43:82, 40:15, 81:20 dan 85:15)

Surah 13:2 juga menyebutkan setelah tuhan meninggikan langit, dia kemudian duduk di atas Arasy. Ini berbeza dengan ayat-ayat yang menyebutkan Allah duduk selepas menciptakan selama enam hari, tetapi ia tetap serupa, yakni juga disebutkan selepas Allah selesai menciptakan langit, dalam hal ini, meninggikan langit, dia kemudiannya telah bersemayam di atas Arasy. 

Hanya di dalam Surah 20:5 disebut Allah duduk di atas Arasy secara umum, bukan selepas enam hari penciptaan, pun begitu ayat 4 sebelumnya tetap menyebutkan secara umum bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi. Ini bermakna, ayat 5 ini tetapi disambung dengan ayat tentang Allah menciptakan langit dan bumi, dan ia membawa maksud yang sama iaitu Allah telah duduk di atas takhtanya selepas menciptakan langit dan bumi.

Sebenarnya, pemahaman bahawa tuhan itu duduk di atas Arasy sangat menebal di kalangan masyarakat Kristian, dan ia disebut di dalam al-Kitab

Selepas itu, aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi sangkakala yang pernah kudengar dahulu berkata kepadaku, "Marilah naik ke sini. Aku akan memperlihatkan apa yang pasti terjadi kemudian kelak." 2ASerta-merta Roh menguasaiku. Kulihat sebuah takhta di syurga dan seorang bersemayam di atasnya. (Wahyu, 4:1-2)

Kemudian aku melihat segulungan naskhah di tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta itu. Gulungan itu bertulis kedua-dua belah dan dimaterai dengan tujuh materai. (Wahyu, 5:1)

Dialah yang bertakhta di atas bulatan bumi, yang penduduknya seperti belalang. Dialah yang membentangkan langit seperti tirai dan merentangkannya seperti khemah kediaman. (Yesaya, 40:22

Pada tahun kemangkatan Raja Uzia, aku melihat Tuhan bersemayam di takhta-Nya yang tinggi dan menjulang. Hujung jubah-Nya memenuhi Bait Suci. (Yesaya,6:1Yesaya,6:1)

Al-Qur'an pula tidak cuba untuk "membetulkan" atau menerangkan apa-apa, yakni tidak cuba untuk menyebutkan bahawa takhta dan semayam di sini tidak sama dengan makhluk, dan tidak juga cuba dijelaskan apa maksud sebenar yang sepatutnya dibawa oleh ayat-ayat di atas di dalam Bible. Ulama-ulama terkemudian yang seringkali terlibat dalam debat-debat dalam cuba memahami maksud "istiwa" di atas arasy.

Walaupun disebut di dalam al-Qur'an bahawa Allah itu tidak sama dengan makhluk, yakni di dalam surah 42:11, tetapi ayat-ayat yang diberikan di dalam al-Qur'an adalah jelas-jelas menunjukkan dia sama dengan makhluk. Bahkan, sifat mendengar, melihat, sayang, marah, berdendam dan berkata-kata itu juga adalah sifat makhluk, tetapi Allah tiada masalah untuk menisbahkan kepada dirinya sifat-sifat ini. Jika dilihat di dalam gambaran yang lebih besar, ayat 42:11 ini sebenarnya tidak relevan dan bercanggahan dengan ayat-ayat lain. 

Cara ulama memahami

Ada beberapa cara untuk memahami frasa istiwa di atas Arasy, sama ada menafsirkan perkataan istiwa itu dengan bermaksud "berkuasa", yakni membawa maksud Allah itu berkuasa ke atas Arasy, dan bukannya duduk atau bersemayam, atau menerima perkataan istiwa itu seperti sedia kala, cuma tidak menyamakan dengan makhluk, cuma cara kedua ini hanya membawa maksud bahawa perkataan istiwa itu tetap tidak dapat difahami atau dibayangkan. 

Seringkali kata-kata Imam Malik dipetik untuk menjelaskan pendekatan kedua ini: 

(Istawa’ itu disebut di dalam al-Quran) dan kaifiyyatnya tidak tercapai akal (majhul), beriman dengannya adalah wajib dan bertanyakan mengenainya adalah bidaah.”

Imam Malik tidak mahu bercakap mengenainya kerana ia mendatangkan masalah, kerana ia memberi imej bahawa Allah itu duduk di atas singgahsana seperti seorang raja. Tetapi perhatikan, al-Qur'an sendiri tidak merasa ia suatu masalah untuk menggambarkan Allah dengan sifat-sifat seperti itu, dan sebagaimanapun para ulama cuba untuk tidak berbincang tentang perkara ini, hanya dengan berbincang mengenainya sajalah, ilmu akan didapati, dan satu gambaran jelas boleh dilihat, yakni permasalahan yang cukup besar.

Kesimpulan

Jika dilihat secara keseluruhan, Allah itu bersemayam atau duduk di atas arasy, dan arasynya diangkat serta dibawa ke tempat-tempat tertentu. Kepercayaan tentang Allah duduk di atas arasy di dalam al-Qur'an didapati daripada melihat raja duduk di atas takhta, dan juga daripada kepercayaan-kepercayaan yang bermasalah di dalam Bible. 

Cukup jelas, bahawa penulis al-Qur'an pada asalnya tidak melihat ada apa-apa masalah dalam menggambarkan tuhan sebagai seorang raja yang duduk di atas takhta, sambil malaikat pengiring mengangkat takhtanya bersama dengan Allah ke tempat-tempat tertentu.

Sebenarnya sesuatu yang aneh apabila melihatkan perkara-perkara seperti ini, dan ia cukup mencerminkan keterhadan pemikiran penulis al-Qur'an itu. Takhta atau singgahsana ini sesuatu yang digunakan oleh makhluk, seperti raja, yang inginkan supaya dia dilihat besar dan agung. Dia akan duduk di situ, dan jika ingin keluar, para khadamnya yang akan mengangkatnya untuk membawa ke tempat lain. 

Tetapi dilihat Allah juga mempunyai objek yang sama, mempunyai singgahsana, dan diangkat oleh para malaikat, dan untuk menjadikan imejnya mempunyai elemen lebih mistik atau misterius, singgahsana ini seperti terapung di atas air. Ini semua imej dari minda manusia, yang membayangkan tuhan itu seperti seorang raja agung. 

Comments