Kisah Maria al-Qibtiyya: Konflik Muhammad dengan para isterinya

Pasar perhambaan di bawah Islam, di mana hamba wanita dijual. Maria al-Qibtiyyah merupakan seorang hamba wanita yang dihadiahkan kepada Muhammad dari Mesir.


Siapakah Maria al-Qibtiyyah? Dia merupakan salah seorang hamba wanita Muhammad, yang juga merupakan seorang gundiknya. Muhammad dikatakan mempunyai antara 9 hingga 11 orang isteri, dan ada juga riwayat dari kitab sirah yang memberikan lebih daripada itu lagi. Selain daripada para isteri, Muhammad juga mempunyai beberapa orang gundik. Dan gundik-gundik ini terdiri daripada wanita yang tidak dikahwini Muhammad. Di dalam Islam, seorang gundik tidak mempunyai hak yang sama seperti seorang isteri, dari segi hak nafkah mahupun hak harta pusaka. Cuma Islam membenarkan mengadakan hubungan seks dengan seorang gundik. 

Ini berdalilkan surah an-Nisa 4:24 dan surah al-Mu'minun ayat 5-8. Bahkan jawapan ini diberikan dengan cukup jelas dan ringkas melalui laman sesawang pejabat mufti Kuala Lumpur, yang menyebut kebenaran Islam untuk seorang lelaki berjimak dengan hamba wanitanya.


Di sini, hamba wanita itu bermaksud gundik, yakni perempuan yang tidak dikahwini, tetapi menjadi pelayan.

Di dalam surah at- tahrim, ada disebutkan kisah di mana Muhammad telah dipersoalkan oleh Allah kerana mengharamkan apa yang dihalalkan. Ayat ini tidak menyebut apakah sebenarnya insiden yang berlaku, tetapi cuma menyebutkan bahawa Allah telah menegur Muhammad kerana perbuatannya itu, yakni mengharamkan yang halal. Ia juga menyebutkan bahawa telah terjadi satu konflik besar di kalangan Muhammad dan isteri-isterinya, dan konflik ini dikatakan cukup dasyat, sehingga menyebabkan Allah sendiri masuk campur dalam menasihati Muhammad untuk menceraikan sahaja isteri-isterinya jika mereka masih hendak menentang Muhammad. 

Jadi apa sebenarnya yang berlaku? Walaupun ayat al-Qur'an tidak menyebut apa berlaku selain daripada memberi rujukan kepada peristiwa itu sahaja, tetapi ia dikatakan cukup serius sehingga soal perceraian muncul, bahkan Allah sendiri pun terpaksa masuk campur dalam isu rumah tangga Muhammad untuk meredakan keadaan dengan menurunkan ayat-ayat 1-5 dalam surah at-tahriim ini (Allah yang masuk campur, atau Muhammad yang menggunakan nama Allah untuk menyelamatkan keadaan?)

Dua versi cerita muncul di dalam kitab-kitab tafsir untuk menjelaskan tentang maksud di sebalik ayat  surah at-tahrim ayat 1-5 ini. Dua versi tersebut adalah seperti berikut:

1) Kisah Muhammad dan maghafir. Muhammad mengharamkan bagi dirinya meminum madu, kerana khuwatir madu itu mempunyai elemen maghafir (maghafir itu sejenis air manis yang berbau busuk), dan Muhammad tidak suka bau busuk.

2) Kisah Muhammad berjimak dengan hamba wanita/gundiknya Maria al-Qibtiyya, dan Muhammad mengharamkan dirinya untuk berjimak lagi dengan Maria.

Kedua-dua versi ini tidak ada kaitan, tetapi kedua-duanya diberikan sebagai kisah latar belakang untuk surah at-tahrim ayat 1-5 ini. Kedua-dua kisah ini ada dibukukan di dalam kesekian banyak kitab-kitab tafsir para ulama Islam dalam menjelaskan maksud latar belakang ayat ini. Jadi yang mana satu kisah sebenar yang menceritakan latar belakang ayat ini? 

Mari kita lihat kedua-duanya.

Versi pertama: Kisah Muhammad, madu lebah dan maghafir (air yang berbau busuk)

Dalam versi pertama, diceritakan bahawa Muhammad pada kebiasaannya akan pergi ke rumah para isterinya pada waktu siang secara bergilir-gilir, untuk bertanyakan ada apa-apa keperluan yang mereka hendak. Pada waktu malam pula, Muhammad akan tidur dengan isteri-isterinya mengikut giliran.

Versi pertama ini sendiri muncul dalam dua sub- versi tersendiri. Ada yang menyebut isteri-isteri yang terlibat dalam kisah ini adalah Zainab bint Jahsy, Hafsah dan Aisyah (kita panggil Cerita A), manakala ada yang menyebut ia melibatkan Hafsah, Saudah, Saffiyah dan Aisyah (Cerita B). Dalam kedua-dua cerita A dan B, Aisyah merupakan ketua perancang komplot.

Dalam versi Zainab, Hafsah dan Aisyah (cerita A), dua daripada isteri Muhammad, Hafsah dan Aisyah merasakan bahawa Muhammad telah melebih-lebihkan Zainab bint Jahsy dari segi perhatian dan masa, maka mereka berdua atas dasar tidak puas hati dan cemburu, berpakat untuk mengenakan Muhammad. 

Zainab bint Jahsy pada kebiasaannya sering memberikan Muhammad meminum madu lebah yang dicampur dengan cecair lain agar ia menjadi sedap, ketika Muhammad bersamanya, yang menyebabkan Muhammad meluangkan lebih masa bersama Zainab. Maka Hafsah dan Aisyah berkomplot, apabila tiba masa Muhammad datang menemui salah satu dari mereka, mereka masing-masing akan berkata kepada Muhammad, bahawa dia berbau busuk akibat dari bau Maghafir. Ini untuk mengenakan Zainab sebenarnya, supaya Zainab henti daripada memberi madu kepada Muhammad dan supaya Muhammad tidak terlalu lama meluangkan masa bersama Zainab.

Jadi satu hari, ketika Muhammad selesai berjumpa Zainab dan setelah meminum madunya, dia menemui salah seorang daripada Hafsah dan Aisyah, dan salah seorang mereka berkata Muhammad berbau maghafir. Muhammad (yang memang tidak suka dirinya berbau busuk), berkata dia cuma meminum madu di rumah Zainab, bukannya meminum maghafir. 

Maka Hafsah menyebutkan, ini pastilah kerana lebah itu sendiri telah meminum maghafir, dan baunya terkena pada madu itu juga, sebab itu bau busuk. Maka Muhammad kemudian mengharamkan dirinya daripada meminum madu. Maka setelah itu, surah at-Tahrim diturunkan, menegur Muhammad. 

Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah at-Tahrim:1)

Muhammad yang merasakan Hafsah dan Aisyah mula cemburu, telah mengharamkan dirinya daripada meminum madu untuk memujuk mereka.

Dalam versi Hafsah, Saudah, Saffiyah dan Aisyah pula (Cerita B), ia sedikit berbeza dari segi watak, kerana dikatakan Muhammad sering meluangkan masa dengan Hafsah pula (bukan Zainab), maka Aisyah berkomplot dengan Saffiyah dan Sa'udah, andaikata Muhammad bertemu mereka bertiga, maka masing-masing akan beritahu saja  kepada Muhammad, bahawa dia berbau busuk akibat dari maghafir. Maka ketika Muhammad bertemu ketiga-tiga daripada mereka, ternyata ketiga-tiga mereka memberitahu perkara sama, maka Muhammad mengharamkan madu ke atas dirinya, dan surah at-Tahrim pun turun. 

Dalam kedua-dua sub-versi ini, ia melibatkan komplot. Kita tidak tahu apakah Muhammad benar-benar memang berbau busuk akibat maghafir, tetapi daripada cerita ini, nampaknya ia hanyalah satu penipuan.  Muhammad sendiri beritahu dia minum madu, bukannya maghafir, dan dia sendiri tidak bau maghafir pada dirinya. Tetapi disebabkan diberitahu oleh Aisyah dan isteri-isteri (setelah semuanya berpakat), maka keyakinan diri Muhammad menjadi goyah, dan dia terus merasa dirinya berbau.

Muhammad berasa malu dengan bau itu, dan mula mengharamkan madu ke atas dirinya, yang mengakibatkan "penurunan" surah at-Tahrim. Inilah dia cerita versi madu lebah. 

Pandangan saya: Saya tidak merasakan cerita ini merupakan punca penurunan surah at-tahrim, sebabnya adalah berikut.

- Apakah perihal berkenaan sekecil madu dan bau busuk layak menyebabkan penurunan ayat Qur'an? Ayat itu sendiri menjelaskan satu insiden serius, di mana diberitahu bahawa isteri Muhammad perlu bertaubat (surah at-Tahrim: 4) , dan mengingatkan mereka andaikata mereka terus menerus menyusahkan Muhammad, maka perlu diketahui bahawa Allah, Jibrail dan orang-orang saleh serta malaikat adalah penolong Muhammad. 

Adakah ini bunyinya seperti menceritakan kisah Muhammad, madu dan bau busuk? Nampaknya ada satu insiden lain yang lebih besar daripada ini yang telah berlaku. 

- Surah at-Tahrim ayat lima pula mengugut perceraian, di mana Allah berkata andaikata Muhammad ingin menceraikan para isterinya, maka mereka akan digantikan dengan orang-orang yang lebih baik. Maka adakah ini bunyinya seperti hanya merujuk kepada perihal madu lebah? Atau ada sesuatu yang lebih serius yang telah berlaku, yang menggoyahkan rumah tangga Muhammad?

- Sub-versi kedua cerita ini mungkin ada sedikit kesilapan, kerana surah at-Tahrim ayat 4 dan 5, jelas sedang bercakap tentang penglibatan dua isteri Muhammad, sedangkan riwayat itu menyebutkan komplot antara tiga isteri Muhammad, yang bercanggahan dengan al-Qur'an. Jadi ada kemungkinan cerita B ada kesilapan, kerana selain angka, watak utama pun berbeza. Pun begitu, cerita A masih nampak boleh diselarikan dengan al-Qur'an, walaupun ia agak aneh.

Cerita ini diriwayatkan dalam banyak versi hadith, bagi cerita A , antaranya sahih al-Bukhari 4912, sahih al-Bukhari 5267Sunan an-Nasa'i 3421 dan seterusnya. Cerita B pula yang menceritakan penglibatan tiga orang adalah sahih al-Bukhari 5268.

Versi kedua: "Madu" yang sebenar, kisah Maria al-Qibtiyya

Kisah ini turut sama disebut di dalam kitab tafsir. Ceritanya adalah, satu hari Muhammad sedang meluangkan masa dengan dengan Hafsah binti Umar di rumah isterinya itu, kemudian Hafsah keluar untuk bertemu ayahnya, Saidina Umar. Muhammad yang bersendirian itu kemudian didatangi oleh Maria al-Qibtiyya, yang ingin berjumpa dengannya. 

Mereka berdua kemudian telah beraksi melakukan hubungan seks di rumah Hafsah, dan Hafsah kemudian pulang ke rumah dan menemui mereka berdua dalam keadaan rancak. Hafsah menunggu untuk Maria pergi, dan kemudian dia bersemuka dengan Muhammad, dan berkata;

قد رأيت من كان عندك، والله لقد سُئْتَنِي
"Aku nampak kau bersama dengan siapa, demi Allah kau telah memalukanku" (Riwayat Ibn Abbas, dari Tafsir at-Tabari)

يا رسول الله أنى كان هذا الأمر، وكنتُ أهونهنّ عليك؟
Wahai Rasulullah, apakah perkara ini, adakah begini rendah diriku terhadapmu? (Riwayat ibn Zaid, dari Tafsir at-Tabari)

أي رسول الله في بيتي وعلى فراشي؟
"Rasulullah, di rumahku dan di atas katilku?" (Riwayat Zayd ibn Aslam, dari Tafsir at-Tabari)

Muhammad kemudian cuba membetulkan keadaan dan meminta maaf dan berkata dia selepas ini tidak akan lagi meniduri Maria, yakni dia bersumpah dia akan mengharamkan Maria bagi dirinya. Muhammad juga merayu Hafsah untuk tidak memberitahu sesiapa. 

Hafsah yang terlalu marah dan kecewa, kemudiannya telah berkongsi perkara ini dengan Aisyah dan kemudian berita tersebar. Iyalah, hati isteri mana yang tidak luluh, sudahlah berkongsi kasih dengan wanita-wanita lain, itu tidak mengapa lagi, ini pula pada hari gilirannya dan di rumahnya sendiri, bahkan di atas katilnya, sang suami masih tergamak berasmara dengan wanita lain, yang bukan isterinya pun.

Tetapi setelah Muhammad mendapat tahu bahawa Aisyah telah tahu perkara ini (isterinya yang paling disayangi), dan cerita ini pula tersebar, maka dia mengumumkan dia tidak akan meniduri mereka selama sebulan, dan Muhammad sendiri mengunci dirinya di dalam rumahnya sendiri secara bersendirian, mungkin akibat terlalu malu atas apa yang berlaku.

Saidina Umar sering mendatangi Muhammad untuk berbincang beberapa urusan, dan pada satu hari, dia mendapat khabar bahawa Muhammad telah menceraikan kesemua isterinya. Dia terkejut dan pergi bertemu anaknya Hafsah yang sedang menangis sambil dikelilingi beberapa orang yang sedang menenangkannya dan bertanya apakah ini benar? Hafsah menjawab ya. Maka Umar pergi berjumpa dengan Muhammad sendiri, yang sedang bersendirian, dan menghantar seorang hamba untuk memujuk Muhammad memberi keizinan untuk bertemu dengannya. Pada awalnya Muhammad enggan walau diminta berkali-kali untuk berjumpa, dan setelah Umar hendak pergi, barulah Muhammad memanggilnya semula. 

Umar kemudian masuk untuk bertemu Muhammad dan melihatnya berbaring sahaja. Nampak sangat Muhammad sedang banyak berfikir. Dia pun berbincang berdua-duaan dengan Muhammad tentang apa yang berlaku. Muhammad cuma berkata bahawa sebenarnya dia belum menceraikan isteri-isterinya, cuma dia terkilan dengan apa yang berlaku. Dia terkilan kerana Hafsah pecah rahsia, dan menceritakan kepada Aisyah apa yang berlaku (yakni insiden seks dengan Maria di rumah Hafsah), walaupun dia telah memberitahu Hafsah ia satu rahsia yang tidak patut orang tahu. Muhammad begitu yakin tentang halalnya perbuatannya, sehingga berani berkongsi cerita ini dengan Umar, ayah kepada isteri yang dicuranginya itu sendiri.

Selepas habis tempoh sebulan, Muhammad pergi berjumpa dengan Aisyah dan para isteri lain, dan memberikan mereka pilihan sama ada untuk terus menjadi isterinya, atau dia akan melepaskan mereka satu-persatu, Muhammad memberikan surah al- ahzab ayat 28-29:

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. "Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar". (Surah al-Ahzab, ayat 28-29)

Muhammad menggunakan posisinya sebagai nabi di kalangan pengikutnya, untuk membuatkan mereka rasa bersalah. Maka kesemua para isterinya memilih untuk tetap menjadi isteri Muhammad. Maka berakhirlah pergolakan rumah tangga Muhammad, dan Maria kekal halal kepada Muhammad sebagai gundiknya. 

Versi kedua ini disebut di dalam Sahih al-Bukhari 2468 (tanpa menyebut Maria secara spesifik) dan sunan an-Nasa'i 3959. Sunan an-Nasa'i menyebutkan bahawa Aisyah dan Hafsah mendesak Muhammad dan tidak akan berhenti mendesak selagi Muhammad tidak mengharamkan Maria, dan Muhammad mengharamkan Maria di depan mereka berdua, maka surah at-Tahrim diturunkan. 

Sedikit analisa ayat Surah at-Tahrim:

1) Setelah Hafsah memberitahu Aisyah tentang apa yang berlaku, pengetahuan ini akhirnya sampai kepada Muhammad, Muhammad mendakwa Allah yang memberitahu perbuatan Hafsah membocorkan rahsia ini, dan ini disebut dalam surah at-Tahrim ayat 3:

Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: "Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya". (Surah at-Tahrim ayat 3).

Muhammad mendakwa bahawa perkara kebocoran rahsia Hafsah terhadap Aisyah telah dibongkarkan kepadanya oleh Allah sendiri, tetapi ini sukar untuk dipercayai. Sebenarnya, boleh saja Aisyah sendiri yang memberitahu Muhammad, atau Muhammad mendengarnya daripada orang lain, kerana pasti ini menjadi buah mulut di kalangan para isteri. Disebabkan Muhammad hanya berdua dengan Hafsah selepas peristiwa Hafsah mencekup Muhammad di rumahnya, jadi andaikata Muhammad mendengar ada sesiapa selain dari dua ini yang tahu tentang perkara ini, maka sudah tentulah Hafsah yang memberitahu kepada orang lain. 

Insiden ini disebut sebagai cukup serius, bahkan sehingga Muhammad mengunci dirinya di dalam biliknya. Sudah tentulah ini kerana orang sudah tahu. 

2) Muhammad kemudian mengugut para isterinya melalui watak Allah:

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya. (Surah at-Tahrim: 4)

Muhammad menggunakan watak Allah untuk memberi amaran kepada para isteri agar tidak melawannya. 

3) Muhammad kemudian mencadangkan perceraian sebagai menakutkan para isterinya pula, ini cara dia melakukan comeback. Dia mengugut untuk menggantikan dengan isteri yang jauh lebih baik daripada mereka untuk membuat mereka rasa bersalah. Bak kata Ghasidah dalam cerita Tiga Abdul, sekali petik, 10 yang datang. Begitulah maksud Muhammad. 

Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara. (Surah at-Tahrim: 5)

Kerana insiden ini menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan para isteri Muhammad, maka Muhammad sendiri mencadangkan perceraian sebagai langkah terbaik. Para isteri Muhammad bagaimanapun, memilih untuk sabar dan terus kekal dalam perkahwinan dengan Muhammad.

Hafsah diceraikan dengan talak satu oleh Muhammad?

Pun begitu, ada hadith menyebutkan Muhammad pernah menceraikan Hafsah dengan talak satu, tetapi kemudian merujuknya semula. Riwayat itu tidak menyebutkan kenapa Muhammad menceraikannya, tetapi melihat kepada konteks ayat Qur'an yang menyebutkan betapa seriusnya perbuatan Hafsah membocorkan rahsia kepada Aishah sehingga Allah merasa ia sangat penting untuk dimasukkan dalam al-Qur'an, seolah menunjukkan bahawa Muhammad menceraikan Hafsah atas sebab ini. 

Bagi Muhammad, perbuatan Hafsah itu cukup melampau. Bayangkan, Muhammad telah dicekup berasmara dengan hambanya, Muhammad menyuruh isterinya untuk jangan beritahu sesiapa pun, tetapi isterinya tetap beritahu isteri yang lain, yakni Aisyah. Mana hendak letak muka? Memang malu, bercampur marah. Maka terjadilah berikut:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَّقَ حَفْصَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ثُمَّ رَاجَعَهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menceraikan Hafsah RA, kemudian merujuknya semula”. [Riwayat Abu Daud, kitab Talak, bab Penjelasan tentang rujuk, no. Hadis 1943, Riwayat Ibn Majah, kitab Talak, bab Suwaid bin Said menceritakan kepada kami, no. Hadis 2006]

Tafsir al-Qurtubi menukilkan pendapat al-Kalbi yang menyebutkan:

 وقال الكَلْبيّ: سبب نزول هذه الآية غضبُ رسول الله صلى الله عليه وسلم على حفصة، لمّا أسرّ إليها حديثاً فأظهرته لعائشة فطلّقها تطليقةً

Dan berkata al-Kalbi, sebab penurunan ayat ini (surah at-Talaq:1) adalah kerana marahnya Rasulullah terhadap Hafsah, kerana baginda meminta Hafsah merahsiakan sesuatu perkara, tetapi Hafsah menyebarkannya kepada Aisyah, maka Rasulullah menceraikannya dengan satu talak. (Tafsir al-Qurtubi)

Beberapa kitab tafsir menyebutkan surah at-Talaq ayat 1, yang menyebutkan "Wahai Nabi! Apabila kamu  hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya", merujuk kepada Muhammad menceraikan Hafsah. Dan ada juga pendapat yang mengatakan dengan jelas, ini disebabkan perbuatan Hafsah yang derhaka terhadap Muhammad itu.

Komentar saya:

1) Cerita berkenaan lebah madu dan maghafir sama ada merujuk kepada insiden lain, atau cerita itu telah direka untuk cuba memberi jalan cerita tentang surah at-Tahrim ini, yakni direka untuk menutup cerita yang agak memalukan antara Muhammad, Hafsah dan Maria ini. Kalau dilihat, insiden madu lebah itu terlalu tidak penting jika ingin dibanding dengan cerita madu wanita, yakni Maria ini. 

Bahkan, untuk cerita maghafir, jika dilihat pada surah at-Tahrim ayat 3, rahsia apa yang diberikan oleh Muhammad kepada isterinya yang sangat penting dan perlu dijaga itu? Apakah rahsia itu adalah untuk tidak memberitahu orang lain bahawa dia telah mengharamkan madu ke atas dirinya? Penting sangatkah rahsia ini untuk disimpan, atau perlukah ia menjadi rahsia? Dan penting sangatkah ia sehingga cerita ini perlu dimasukkan dalam al-Qur'an?

Jika dilihat pada ayat 4, jika ia hanya berkenaan Aisyah dan Hafsah berkomplot untuk melarang Muhammad meminum madu hanya kerana meluangkan masa yang lebih dengan Zainab, adakah ini selaras dengan perlunya turun ayat Qur'an yang mengatakan Muhammad akan dibantu oleh Allah, para malaikat dan orang-orang saleh? Adakah perihal madu boleh menyebabkan isu ini diceritakan dalam ayat 4 ini dalam skala begini?

Jika dilihat pada ayat 5 pula, Muhammad mengugut untuk melepaskan para isterinya. Sekali lagi, adakah insiden madu dilihat sesuai dengan cadangan semacam ini? Atau adakah cerita aksi ranjang Muhammad bersama Maria di rumah Hafsah itu lebih sesuai dan lebih masuk dengan Surah at-Tahrim ini? Sudah pastilah cerita Maria ini lebih sesuai, kerana ia cerita yang lebih mampu menggoyahkan rumah tangga Muhammad, bahkan ia menyebabkan Hafsah diceraikan sebentar, walaupun dirujuk kembali.

Walhal jika menurut Islam, tidak ada apa yang salah pun yang dilakukan Muhammad. Dia mengadakan hubungan seks dengan hamba wanitanya sendiri, tetapi atas dasar ingin memujuk Hafsah, maka dia mengharamkan sesuatu yang halal, maka kerana itu surah at-tahrim diturunkan. Atau lebih tepat, Muhammad kemudiannya tersedar yang melepaskan Maria itu satu kesilapan, dan tidak berbaloi untuk melepaskan hamba yang cukup cantik hanya kerana ingin memujuk Hafsah yang padahal bukannya kesalahan pun. Maka "diturunkan" surah at-Tahrim ayat 1-5 untuk buat pusingan-U dan menghalalkan semula Maria. 

Disebabkan "penurunan" surah at-Tahrim ini, bukan saja Maria kembali halal bagi Muhammad, bahkan Muhammad mampu menyimpan kesemua para isterinya dan keadaan menjadi normal semula. Ia satu tindakan yang cukup menguntungkan Muhammad dan menyelamatkan keadaan rumah tangganya yang berantakan akibat tindakan kurang bijaknya sendiri. 

Comments

  1. Cerita yang ustaz tak pernah cerita dalam ceramah. Semua cerita kebaikan sahaja.

    ReplyDelete
  2. Kenapa Maria tiba tiba datang mencari Muhammad di rumah Hafsah.Tup tup Hafsah tiada pula dirumah

    ReplyDelete
    Replies
    1. https://www.youtube.com/watch?v=DpQu6eCqObA

      Delete
  3. Ada juga Nabi-nabi lain yg sex dengan hamba. Tak jadi masalah pun. Macamla Atheis xbiasa tibai pelacur ,tibai pondan,tibai anak sendiri,tibai mak sendiri.Dah nama xda agama kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa punya bahasa dan komen la kau ni. Aku rasa kau ni trlebih baca Qur'an ni, tu yg jadi macam ni. Seks dengan hamba pun kau cakap normal. Kau pergi la dapatkan 10 orang hamba, lepas tu jimak diorang. Kau tau tak, dlam Islam takda had berapa orang hamba untuk kau jimak?

      Delete
    2. Kalau ikut hak asasi manusia, seks dengan hamba abdi dan kanak2 bawah umur dikira sebagai rogol. Kat malaysia ni, saya tak pernah dengar berita atheis rogol anak sendiri atau mak sendiri.

      Delete
  4. Cuba pikir buat apa Muqawqis hadiah hamba cantik Mariah kepada Muhammad setelah bersembang dengan Mughira ibn Shu'ba.Buat kerja rumah je ke.Baik dia bagi hamba kulit hitam ke apa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perkauman betul kau ni. Kau ni contoh terbaik apa yang Islam mampu buat pada minda seseorang. Jadi terencat dan lembab.

      Delete
  5. Nabi Muhammad telah salah menceraikan Maryam,maka ayat ini turun.Apa yang anda nak buktikan,Nabi Muhammad melakukan kesalahan,tersalah tindakan?Mohon penjelasan

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1) Muhammad gagal menahan nafsu dari berjimak dengan hambanya pada hari giliran isterinya Hafsah, dan di rumah dan katil Hafsah sendiri. Ni maksudnya Muhammad tidak sensitif, dan hanya fikir tentang nafsu sendiri

      2) Dalam dia terburu-buru untuk meminta maaf dengan Hafsah, dia mengharamkan dirinya dari berjimak dengan Mariam. Bukan ceraikan, sebab Mariam bukan isteri tetapi hamba. Tapi lepas tu dia guna watak Allah untuk buat u-turn.

      Kamu bayangkan, Allah seolah tak ada kerja lain, tapi melibatkan diri dalam urusan rumah tangga orang. Sebenarnya bukan Allah takda kerja lain, tapi Allah tu takda pun. Dia cuma watak yang direka untuk membantu Muhammad.

      Delete
  6. Dari saya umur 18 banyak yang saya persoalkan tentang islam. Dah pernah keluar sekali. Tapi ada imam yang buat saya mengucap syahadah masuk semula. Dia berjaya yakinkan saya dgn ayat ayat al-quran (agak memaksa). Sekarang saya umur 25, anak 2 orang. Orang orang yang kenal saya, selalu tanya soalan tentang agama sebab bagi mereka saya ni rajin cari ilmu. Tapi mereka ni tidak tahu. Setiap hari saya bangun, saya akan persoalkan patut ke saya percaya islam. Saya suka baca baca hadis dan quran untuk dapatkan jawapan. Setiap kali ragu, saya tanya pada suami kenapa begini kenapa hadis ni ckp mcm tu? Suami akan suruh saya jaga kata kata takut murtad. Adakah salah untuk saya bertanya supaya faith tu kukuh? Adakah patut orang mcm saya ni dibiarkan dgn persoalan tanpa jawapan? Saya tak tahu siapa penulis blog ni, tapi terima kasih berkongsi. Belum sempat nak baca habis lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagus keep on detaching for the truth

      Delete
    2. Salam admin, saya baru ketemu blog ini. Dari kisah muhammad dan isteri2 nya ini saya pelik kalau betul Allah itu maha tahu maha wujud dengan mudah dia beri tahu dengan muhammad semua perancangan 3 isteri beliau yang cemburu itu maka peristiwa dan kisah ini terhenti disitu saja .nampak sangat sang Allah tidak wujud

      Oh ya satu lagi. Setelah kisah ini selesai dan sattle siapakah yang interview satu2 watak dalam kisah ini untuk dijadikan kisah dan dibukukan???

      Delete
  7. Allowing sex with female slaves is rape by today moral standards. Done by the Prophet the best man that ever lived? Gimme a break. I left Islam immediately when I knew about it. That's moral and intellectual honesty.

    ReplyDelete
  8. Salam sejahtera. Kitab Al Quran yg diturunkan oleh Allah untuk ditadabbur bukan untuk difahami melalui terjemahan bahasa arab ke melayu. Setiap ayat ada penafsiran. Setiap penafsiran memerlukan guru bukan melalui pemahaman sendirian. Dada yg sempit kerana tidak berilmu. Cari bantuan untuk memahami ilmu Al-Quran dengan mencari guru yg ahli dlm bahasa arab, ilmu Quran serta hadis. Salam mesra.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa kata awak yg pg cari guru, dan bagitau sy apa maksud ayat2 di atas. Sy bagi tafsiran dari tafsir at-tabari kot, at-tabari tu pun guru juga.

      Cari guru pun, yg pnting gunakan akal fikiran utk fikir scara kritis. Jgn cari guru, lpas tu guru tu pun pusing, konar sana sini, awak pun angguk saja lpas tu kena tipu lagi

      Delete

Post a Comment