Kekejaman menahan orang daripada makan

Bagi yang tidak percaya kepada bulan ramadhan ini, kami melihat hari ini seperti hari biasa yang lain, kerana ia memang hari biasa yang lain dan tidak ada apa yang menggambarkan ia bulan "Ramadhan", seperti yang didakwa pengikut Islam. Tetapi yang menjadi sialnya adalah bagi kami yang bekas Islam ini, disebabkan status Islam itu masih berada di rekod kami dan di IC kami, maka adalah menjadi satu kesalahan undang-undang bagi kami untuk makan secara terbuka.

Begitulah sialnya nasib kami, dan umat Islam pula bergembira dengan situasi yang menimpa kami ini. 

Begitu juga sial nasib mereka yang masih mengaku Islam, tetapi memilih untuk makan dan minum, yakni tidak berpuasa. Umat Islam lain juga akan memastikan hidup orang-orang yang memilih untuk tidak berpuasa ini menjadi sukar. Bagi mereka yang ditangkap, maka mereka akan didenda. Denda untuk apa? Atas alasan tidak menghormati kesucian bulan Ramadhan.

Tetapi jika benar bulan Ramadhan itu suci, tidakkah sepatutnya orang-orang bukan Islam juga dipaksa untuk menghormatinya? Kenapa orang-orang Islam saja yang dipaksa untuk menghormati bulan ini? Adakah hanya kerana orang-orang bukan Islam tidak percaya kepada kesucian bulan ini, maka adalah tidak mengapa untuk mereka makan di restoran dan tempat terbuka? Jadi kenapa kebebasan yang sama tidak diberikan kepada kami ini yang sudah tinggalkan Islam, kerana kami juga tidak percaya kepada kesucian bulan Ramadhan?

Bagi mereka yang masih Islam, tetapi memilih untuk tidak puasa, kita tidak tahu apakah mereka masih percaya atau tidak kepada "kesucian" bulan Ramadhan, tetapi apa hak umat Islam untuk memaksa mereka ini untuk turut sama menghormati bulan ini? Kenapa perlu dikawal minda dan kepercayaan semua orang untuk percaya kepada konsep "kesucian" yang hanya wujud dalam otak orang-orang Islam?

Paksaan ini yang menjadikan orang-orang semakin jelak dengan agama ini. Dan adalah kejam untuk melarang orang lain untuk makan dan minum. Biarlah orang ingin makan di tempat terbuka, atau di tempat tertutup depan orang lain pun, kerana bulan ini adalah sama seperti bulan-bulan lain. Kesucian bulan Ramadhan hanya wujud di dalam minda-minda orang Islam saja. Ingat itu. Ia bukan hakikat, tetapi kepercayaan sahaja. 

Comments

Post a Comment